Sunday, February 15, 2009

Nikmat yang membutakan

Apabila diselubungi nikmat kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin.
Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu
betapa bererti dan berharganya sesebuah
perhatian itu.

Tatkala kaki kita masih boleh dihayun, kita tidak sedar betapa berharganya nikmat itu sehingga suatu hari kita dapati kita tidak lagi dapat melangkah. Kala itu kita berharap simpati, agar ada orang sudi menjenguk kita dan membantu kita apa-apa yang tidak mampu kita lakukan sendiri.
Selagi tidak sakit kita jarang mahu mengerti perasaan orang yang terpaksa berjuang dengan penyakit-penyakitnya. Kita tidak fikir ziarah ke hospital itu sesuatu yang patut dilakukan dari masa ke masa, demi memuhasabah diri. Kita tidak fikir menyumbang sedekah untuk pusat-pusat orang kurang upaya itu penting dilakukan.
Selagi tidak melihat sendiri seorang ibu dengan tiga orang anaknya yang masih kecil mengais-ngais tempat pembuangan sampah kita seperti tidak percaya dengan makna kemiskinan. Tatkala kita benar-benar pokai, jarang mahu mengerti erti fakir.
Selagi kita sihat kita tidak fikir berertinya sebuah perhatian. Setelah kita sakit baru tahu betapa pentingnya kita dijenguk orang – ditanyakan keperluan-keperluan kita, ditanyakan tentang makan minum kita mahupun ditanyakan tentang ahli keluarga kita yang terpaksa hidup sendiri itu.
Sewaktu kita sihat dan kita diberikan kepercayaan merancang sesuatu bangunan, kita terlupa tentang orang kurang upaya. Kita mereka bentuk bangunan yang hanya memberi kemudahan kepada orang sempurna. Kita terlupa orang kurang upaya menghadapi masalah yang amat besar untuk berada di bangunan ciptaan kita.
Nanti apabila kita sendiri telah tidak upaya untuk hidup seperti biasa, barulah tahu betapa berharganya hidup ini dikongsi bersama, berfikir sebagaimana orang lain berfikir serta memikirkan keselesaan dan juga kepentingan orang. Selagi tidak ditimpa sesuatu kita memang jarang hendak memahami bagaimana rasanya ditimpa sesuatu itu.
Kealiman seolah-olah tiada sengatnya jika tidak diterjemahkan kepada ciri-ciri kemanusiaan. Kealiman itu sendiri membawa gambaran berguna kepada diri sendiri dan juga orang lain. Jika kealiman terhenti setakat kegunaan sendiri ia belumlah dikira praktikal sebab kealiman (kepakaran) itu sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
Manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain. Dia hidup dalam suasana hari ini adalah lebih baik dari semalam.
Belumlah seseorang itu boleh dikatakan luar biasa bagus dan hebat sekali jika sumbangan-sumbangannya hanya terhenti setakat untuk dirinya sendiri.
“ALLAH meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)
Seorang ahli falsafah berkata, “Anda alim lalu berjaya masuk syurga, anda tetap bersalah kerana membiarkan orang yang tidak mengerti di sekeliling anda masuk neraka.”
Apabila diselubungi nikmat kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin.
Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu betapa bererti dan berharganya sesebuah perhatian itu.

No comments:

Post a Comment