Sunday, February 15, 2009

ORANG KETAWAKAN ANDA

Seringkali bila kita buat kesilapan di depan orang, mereka cenderung untuk mentertawakan kita. Tak kira mereka kawan kita mahupun rakan sekerja, silap sikit, mesti kita di ketawakan.Selepas itu, Anda rasa malu, maruah jatuh dan jati diri menurun. Apa nak buat bila Anda berdepan dengan keadaan sebegini?Cara terbaik, lupakan saja. Saya tahu, memang perit nak dilupakan, tapi kalau asyik di ingat, serta merta membuat motivasi Anda turun. Kesannya, Anda tak bersemangat.Jadikan ketawa mereka tu sebagai satu cabaran untuk Anda memajukan diri, lebih maju dari yang sebelumnya! Hari ni mereka ketawakan Anda, biar esok nanti, mereka menyanjung pencapaian Anda!.Selalunya, bila kita berdepan dengan keadaan sebegini, terasa tak bersemangat dan emosi kita down jadinya. Tapi kita perlu lupakan rasa malu tu dan ingat semula matlamat utama kita.Tak kira Anda seorang pelajar IPT, pekerja mahupun usahawan, perkara ni tetap berlaku di mana-mana saja. Cara nak menanganinya, latih diri untuk banyak bersabar dan fokuskan kepada matlamat Anda.Bila di ingat saat mereka mentertawakan Anda, memang sakit hati, geram, rasa nak marah. Semua emosi tu negatif. Kalau asyik kita ingat, melatih minda kita supaya menarik situasi yang negatif juga.Walau sekuat mana usaha Anda mengejar kejayaan, jika Anda selalu ingat situasi tersebut diiringi dengan emosi sakit hati, geram, rasa nak marah, kejayaan takkan muncul disebabkan hal tadi. Minda Anda bukan menarik kejayaan, tapi menarik situasi negatif yang mengundang kegagalan dan kekecewaan tanpa Anda sedari.Kena latih diri untuk buang rasa geram, sakit hati dan rasa nak marah bila di ketawakan. Lebih baik fokus kepada cita-cita dan impian Anda, kerana ia membuat Anda semakin bersemangat serta melatih minda Anda supaya fokus ke masa depan, iaitu cita-cita Anda.Fikir kejayaan, minda Anda akan menarik kejayaan. Untuk itu, minda Anda perlu bersih dari emosi negatif. Jangan biarkan emosi negatif ni ada, walaupun sedikit.Penuhkan minda dengan hal-hal kejayaan, seperti kisah orang-orang yang berjaya dan peransang motivasi, agar ia menjadi booster untuk Anda semakin rajin berusaha.Kesan daripada tu, walau sekuat manapun orang ketawakan Anda, cuma perlu senyum saja kerana ia tidak memberi kesan apa-apa!

Tips mengekalkan sebuah persahabatan

Saling memberi kebebasan Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur pada persahabatannya. Saling menahan rasa cemburu Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah ‘thrill’nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh. Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan… Saling memahami Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu dia. Saling mengalah Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu. Saling memberi kemaafan Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

Mutiara Kata Pengisian Jiwa

Hati yang gembira boleh diwajahkan dengan wajah yang gembira tetapi wajah yang gembira tidak semestinya mempunyai hati yang gembira.
Racun itu mudah diketahui orang tetapi ramai yang tertipu dengan kata-kata kerana ia dibungkus dengan gula gula yang lebih manis dari racun.
Janganlah bersumpah baik demi langit, mahupun demi bumi atau demi apa pun juga. Katakan sahaja ‘ya’ atau ‘tidak’ supaya kita tidak berbuat dosa atau terhukum kerana sumpah itu .
Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatih dirinya menjadi peminta sedekah. ~ Pendita Zaaba
Orang yang berjiwa kecil cepat naik darah kalau dirinya dikritik. Tetapi orang yang bijaksana mampu memetik hikmah daripada orang yang mengkritiknya dan mampu menganalisa serta menguji dirinya sendiri.
Suatu tanda kelebihan orang berakal ialah apabila dia telah sanggup menggunakan akalnya seperti menggunakan pelita pada malam yang gelap.
Paip yang kosong menghembuskan angin tetapi jika kepala yang kosong akan menghasilkan kegelapan.
Menyedihkan melihat orang berkeras bahawa mereka benar meskipun terbukti salah. Apa yang berada di belakang kitadan apa yang berada di depan kita adalah perkara kecilberbanding dengan apa yang berada di dalam kita.
Kamu tak berupaya mengubah masa lalu tetapi kamu dapat menghancurkan masa kini dengan mengkhawatirkan masa depan.
Kesunyian adalah suatu keresahan dan keresahan adalah suatu penyeksaan yang tidak berkesudahan.
1000 mancis tidak menerangi kau di dalam kegelapan buat selama-lamanya tetapi cahaya keimanan dapat membawa kau ke jalan kesenangan.
Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah kita menjadi langau yang membusukkan daging.
Suatu pengembaraan di anggap gagal kalau kita tidak dapat apa yang kita cari. Tetapi itu tanggapan yang salah. Tidak ada pengembaraan yang sia-sia. Cuma kau tidak faham, bahawa sesuatu yang kau jumpa dalam perjalananmu, adakalanya lebih baik daripada apa yang kau cari.~ Panrita - Arena Wati

Nikmat yang membutakan

Apabila diselubungi nikmat kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin.
Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu
betapa bererti dan berharganya sesebuah
perhatian itu.

Tatkala kaki kita masih boleh dihayun, kita tidak sedar betapa berharganya nikmat itu sehingga suatu hari kita dapati kita tidak lagi dapat melangkah. Kala itu kita berharap simpati, agar ada orang sudi menjenguk kita dan membantu kita apa-apa yang tidak mampu kita lakukan sendiri.
Selagi tidak sakit kita jarang mahu mengerti perasaan orang yang terpaksa berjuang dengan penyakit-penyakitnya. Kita tidak fikir ziarah ke hospital itu sesuatu yang patut dilakukan dari masa ke masa, demi memuhasabah diri. Kita tidak fikir menyumbang sedekah untuk pusat-pusat orang kurang upaya itu penting dilakukan.
Selagi tidak melihat sendiri seorang ibu dengan tiga orang anaknya yang masih kecil mengais-ngais tempat pembuangan sampah kita seperti tidak percaya dengan makna kemiskinan. Tatkala kita benar-benar pokai, jarang mahu mengerti erti fakir.
Selagi kita sihat kita tidak fikir berertinya sebuah perhatian. Setelah kita sakit baru tahu betapa pentingnya kita dijenguk orang – ditanyakan keperluan-keperluan kita, ditanyakan tentang makan minum kita mahupun ditanyakan tentang ahli keluarga kita yang terpaksa hidup sendiri itu.
Sewaktu kita sihat dan kita diberikan kepercayaan merancang sesuatu bangunan, kita terlupa tentang orang kurang upaya. Kita mereka bentuk bangunan yang hanya memberi kemudahan kepada orang sempurna. Kita terlupa orang kurang upaya menghadapi masalah yang amat besar untuk berada di bangunan ciptaan kita.
Nanti apabila kita sendiri telah tidak upaya untuk hidup seperti biasa, barulah tahu betapa berharganya hidup ini dikongsi bersama, berfikir sebagaimana orang lain berfikir serta memikirkan keselesaan dan juga kepentingan orang. Selagi tidak ditimpa sesuatu kita memang jarang hendak memahami bagaimana rasanya ditimpa sesuatu itu.
Kealiman seolah-olah tiada sengatnya jika tidak diterjemahkan kepada ciri-ciri kemanusiaan. Kealiman itu sendiri membawa gambaran berguna kepada diri sendiri dan juga orang lain. Jika kealiman terhenti setakat kegunaan sendiri ia belumlah dikira praktikal sebab kealiman (kepakaran) itu sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
Manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain. Dia hidup dalam suasana hari ini adalah lebih baik dari semalam.
Belumlah seseorang itu boleh dikatakan luar biasa bagus dan hebat sekali jika sumbangan-sumbangannya hanya terhenti setakat untuk dirinya sendiri.
“ALLAH meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)
Seorang ahli falsafah berkata, “Anda alim lalu berjaya masuk syurga, anda tetap bersalah kerana membiarkan orang yang tidak mengerti di sekeliling anda masuk neraka.”
Apabila diselubungi nikmat kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin.
Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu betapa bererti dan berharganya sesebuah perhatian itu.

Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sesebuah hubungan melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.

SEGELINTIR ibu bapa menganggap, apabila anak remaja sudah mula ada temu janji, bermakna berakhirnya peranan mereka sebagai ibu bapa. Ia juga dilihat sebagai tiba masa yang tegang dengan pelbagai masalah.
Justeru, persediaan yang rapi menjadi kunci kepada pengurusan kehidupan anak remaja anda.
Hampir kebanyakan ibu bapa mungkin berasa bimbang tentang peringkat kehidupan anak remaja mereka. Dalam kebanyakan kes, situasi anak yang mula ‘bertemu janji’ dilihat sebagai langkah pertama mereka untuk belajar berdikari atau tidak memerlukan kongkongan ibu bapa lagi.
Tetapi belum tentu ia begitu. Temu janji hanyalah satu norma dalam kehidupan remaja. Sudah tentunya mereka masih memerlukan anda (ibu bapa) dalam tempoh ini dan masa akan datang.
Tempoh ini juga boleh menjadi masa yang sukar dalam kehidupan anak remaja anda. Namun, banyak yang boleh dilakukan untuk melancarkan proses hubungan di antara anda selaku ibu bapa dan anak.
Seperti dalam hal-hal lain, kejayaan sesebuah temujanji bermula dengan didikan yang betul. Adalah penting untuk anda berbincang dengan anak remaja sebelum mereka mula ‘bertemu janji. Perbincangan seharusnya menumpukan kepada ciri-ciri sebuah hubungan yang berjaya.
Mungkin mudah bagi anda membuat andaian bahawa anak remaja tahu apa yang betul dan tidak tentang temujanji tetapi ia tidak semestinya begitu.
Jika anda berfikir sejenak, kebanyakan maklumat mereka tentang subjek tersebut berkemungkinan diperoleh daripada televisyen. Namun, apa yang mereka nampak itu tidak semestinya mencerminkan kehidupan sebenar.Apa yang ditonton mungkin dianggap sebagai hiburan semata-mata.
Anak remaja anda sepatutnya memahami apa itu hubungan yang saling menyayangi dan memberi sokongan. Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sebuah hubungan, melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.
Ini bermakna, apa yang anda katakan akan memberi impak kepada anak remaja anda. Begitu juga dengan apa yang mereka lihat dan contohi daripada anda. Disebabkan itu, tingkah laku hubungan anda dan pasangan perlu dijaga agar anak tidak mendapat petunjuk yang negatif.
Apabila anak sudah mula ‘bertemu janji’, anda perlu sedar perbincangan yang bakal mengambil tempat adalah sesuatu yang akan diteruskan.
Pasangan yang ditemui itu tidak semestinya orang yang anda atau anak jangkakan. Jadi, kesediaan anda menjadi tempat anak meluahkan perasaan dan berbincang masih mustahak kala saat dilanda kemelut jiwa.
Ingatlah bahawa komunikasi yang baik dan berterusan boleh mendidik anak remaja tentang cara yang betul menguruskan sebuah hubungan. Benarkan mereka mengetahui bahawa layanlah orang lain sebaik mungkin sebagaimana diri kita ingin dilayan.
Berjumpa dengan pasangan anak remaja anda buat kali pertama ada kalanya boleh mewujudkan tekanan. Tetapi, ingatlah betapa pentingnya anda sebagai ibu bapa untuk membuatkan perjumpaan itu satu situasi yang selesa dan saling menghormati.
Elakkan daripada melakukan kesilapan klasik seperti berleter dan mengutuk hubungan anak anda dalam perjumpaan pertama.
Jika terlintas di fikiran untuk menyediakan syarat-syarat penting, anda boleh lakukan ini hanya apabila anda dan anak duduk bersama.
Dalam keadaan terburuk sekali pun, misalnya apabila anda tidak menyenangi pilihan anak remaja anda, jangan tunjukannya secara terang-terangan. Sebaliknya, berilah sokongan kerana mungkin ada sebab kenapa anak remaja anda memilihnya.
Setelah berkongsi dan sedikit sebanyak mendidik mereka tentang perhubungan yang sihat, berikan keyakinan terhadap keputusan anak. Jangan campur tangan dalam hal hubungan, melainkan terasa bahang bahaya yang bakal melanda.Sesungguhnya, agak sukar untuk menyaksikan perkembangan anak remaja dan kecenderungan mereka mengenali orang baru. Tetapi, asalkan anda sudah melakukan bahagian yang sepatutnya, percayalah bahawa anak remaja anda tahu dan boleh mempertimbangkan apa yang betul dan salah.

sesekali keluarlah dari kepompong...

“Pudarlah kebahagiaan seorang wanita jika ia tidak mampu menjadikan suaminya teman yang termulia”

Berada di kelompok baik kita akan hanya melihat kebaikan, sebaliknya jika kita berada dalam kelompok jahat kita akan melihat kejahatan. Jarang kita hendak berada di kelompok jahat dan menilai kebaikan. Begitu juga payah untuk kita melihat kejahatan tatkala kita berada dalam kelompok baik.
Di situ silapnya kita. Hanya berlegar dalam kepompong kita lalu buta apa yang berlaku di sekeliling. Jika kepompong kita itu mempamerkan kebaikan, kita merasakan semua orang baik justeru tidak perlulah berbuat apa-apa atau menyumbang apa-apa, sama ada mengubah keadaan atau membantu memperbaiki keadaan.
Sebenarnya api biru di atas sumbu lilin yang terbakar adalah terdiri daripada api merah, oren dan kuning yang mengeluarkan jelaga berwarna kelabu. Kita jangka tiada apa-apa tetapi di situlah terjadi bermacam-macam perkara. Api biru itu kita, api merah, oren dan kuning itu adalah pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling kita. Selesa selalu berwarna biru, tetapi sebenarnya menyumbang pada keluarnya jelaga berwarna kelabu. Jelaga itu adalah natijah daripada onarnya merah, oren dan kuning.
Onar-onar ini bukan dilakukan oleh orang lain, kadang-kadang oleh ahli keluarga sendiri, oleh ahli kesatuan sendiri, oleh ahli kariah sendiri, oleh anak sendiri, malah boleh jadi oleh isteri atau suami sendiri. Lihat-lihatlah sekeliling, mungkin kita boleh membantu menghentikan sesuatu yang tidak wajar yang sedang berlaku.
Seorang isteri perlu dinasihati malah kadang-kadang perlu dicurigai dan dicemburui. Ia akan jadi penebat yang mengawal perilakunya di luar. Seorang suami kadang-kadang perlu dihadiahkan wajah yang masam supaya dia mencari kesalahan dan memperbaikinya. Seorang anak kadang-kadang perlu disoal-siasat dan dibongkas beg sekolahnya sebelum kita menemukan sesuatu yang memeranjatkan. Kadang-kadang kita perlu keluar dari kepompong baik kita untuk melihat apa yang sedang berlaku di luar kariah kita.
Anda berada dalam kelompok masjid dan surau lalu memenjarakan diri di situ, tentu anda tidak akan tahu apa yang berlaku di lorong hitam dan bagaimana menanganinya. Sesekali lihatlah dengan kaca mata kecurigaan agar kita dapat mencegah sesuatu kemungkaran. Kadang-kadang panjangkanlah langkah dan lihatlah keburukan menjadi begitu berleluasa lantaran anda tidak ambil peduli.
Sesekali lihatlah mesej-mesej apa yang ada dalam telefon tangan isteri mahupun suami, kalau-kalau sesuatu yang tidak wajar boleh ditegah awal. Sesekali cuba lihat senarai panggilan keluar dan panggilan yang diterima oleh isteri juga sebaliknya, kalau-kalau ada panggilan yang bertahan hingga sejam atau nombor yang terlalu kerap dipanggil atau diterima.
Isteri menjadi curang kadang-kadang disebabkan suami kurang berperanan. Suami melampau-lampau gatalnya mungkin disebabkan isteri jarang hendak ambil tahu. Anak-anak menjadi masalah di tengah masyarakat boleh jadi disebabkan ibu dan ayahnya terlalu percaya.
Saling mempercayai itu lebih baik daripada saling prasangka dan curiga. Tetapi terlalu mempercayai secara membuta tuli tentu menyalahi istilah ambil peduli. Ambil peduli itu tandanya kasih, membiarkan itu tandanya tidak kasih.

renungan hati ke hati...